Tuesday, 25 December 2012

Kisah Taubat di Zaman Nabi Musa


Ketika zaman Nabi Musa AS, tersebut kisah yang menyatakan kaum Bani Israil ditimpa kemarau berpanjangan. Mereka berjumpa Nabi Musa AS dan berkata: “Wahai Kalamullah, berdoalah kepada Tuhanmu supaya Dia menurunkan hujan kepada kami.”
Lalu Nabi Musa bersama umatnya yang ramai ketika itu, berjalan bersama-sama menuju satu kawasan lapang untuk berkumpul. Kemudian berdoalah Nabi Musa kepada Allah supaya diturunkan hujan ke atas tanah gersang itu.
Namun, hujan masih tidak kunjung tiba, sebaliknya matahari semakin memancarkan kepanasannya.
Kemudian Nabi Musa berdoa lagi dan kali ini Allah menjawab doanya dengan berfirman: “Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kalian, sedangkan di antara kalian ada seorang hamba di kalangan yang hadir berdoa, melakukan maksiat sejak 40 tahun lalu. Umumkanlah di depan manusia supaya dia berdiri di depan kalian semua. Kerana dialah Aku tidak menurunkan hujan untuk kalian.”
Lalu Nabi Musa mengumumkan firman Allah itu. Saat itu, seorang umatnya tahu dialah orang yang dimaksudkan. Lalu terbisik di hatinya: “Kalau aku keluar di depan manusia, akan terbukalah rahsia ku. Kalau aku tidak berterus-terang, hujan pun tidak akan turun.”
Hatinya menjadi gundah gulana hingga menitis air matanya sambil berkata dalam hati: “Ya Allah! Aku sudah melakukan maksiat kepada-Mu selama 40 tahun tetapi Engkau tidak pernah membuka aibku. Aku bertaubat kepada-Mu sekarang, maka terimalah taubatku.”
Saat itu langit mula mendung dan hujan mulai turun. Nabi Musa kehairanan kerana tidak ada seorang pun muncul untuk mengaku seperti dikehendaki Allah. Lalu Allah menyatakan bahawa orang itu bertaubat kepada-Nya.
Nabi Musa seraya berkata: “Tunjukkan aku siapakah hamba-Mu yang taat dan beriman itu.” Namun Allah menjawab: “Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya padahal dia bermaksiat kepada-Ku. Apakah Aku membuka aibnya, sedangkan dia taat kepada-Ku!”

Tuesday, 4 December 2012

Bahayanya Tidak Rasa Diri Berdosa


Adakalanya seseorang itu tidak membuat dosa, boleh merosakkannya
Kerana dia terasa suci dan bersih dari dosa
Takutnya kepada Tuhan pun hilang, maka rasa kehambaannya hilang pula
Bahaya bagi seseorang hamba yang sudah hilang rasa kehambaannya
Adakalanya seseorang itu ada sedikit cacat celanya untuk menyelamatkannya
Di waktu dia tercacat, dia merasakan sangat berdosa
Jiwanya pun menderita, maka itulah yang Tuhan suka
Di situ ada rahsia dia dapat kekalkan sifat hambanya
Itulah yang Tuhan mahu dan suka
Di sini barulah kita faham, orang yang tidak membuat dosa pun kenalah rasa berdosa
Kerana merasa berdosa itu adalah sifat hamba
Rasa kehambaan mestilah dikekalkan setiap masa
Begitulah rahsia Tuhan kepada kita
Ada yang nampaknya positif, dia akan jadi negatif
Ada yang nampaknya negatif tapi dia akan jadi positif
Tapi ini bukan pula dibuat-buat
Biarlah ia terjadi tanpa kehendak kita
Ia adalah rencana dari Tuhan di luar kuasa kita
Bukan rencana dari kita
Rencana dari kita tidak ada hikmahnya
Rencana dari Tuhan ada hikmahnya
Maha Besar Tuhan! Maha Suci Tuhan daripada membuat perkara yang sia-sia

6.5.2003
Menjelang Zuhur
Sky Design Pointer